Cetak

LAWATAN AKADEMIK MODERN LANGUAGE CENTRE (MLC), JORDAN KE FBK

Ditulis oleh Pentadbir.

lwtn

Pusat Pengajian Bahasa Arab (PPBA), telah berbesar hati menerima kunjungan dari pihak pengurusan Modern Language Centre Amman, Jordan ke Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) pada 28 Ogos 2018. Mereka yang hadir adalah pengarah MLC iaitu Mr. Faris Awad selaku pemilik pusat tersebut bersama seorang staf pentadbiran dan seorang guru bahasa Arab.

Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memperkenalkan MLC kepada pelajar dan staf akademik yang berminat mendalami bahasa Arab di Jordan. Di samping itu, ia bertujuan mewujudkan sebarang usahasama antara PPBA dan MLC dalam apa jua bidang berkaitan bahasa Arab.

Antara intipati perbincangan berkisar tentang perkhidmatan bahasa yang ditawarkan, ujian kompetensi bahasa Arab, serta kemudahan fasiliti yang disediakan seperti penginapan asrama yang bersebelahan pusat bahasa dan penyediaan citarasa makanan mengikut selera pelajar. Pelajar akan turut dibawa melawat tempat-tempat perlancongan terkenal sepanjang mengikuti pengajian bahasa di sana, di samping merasai sendiri pengalaman bermuamalah dengan masyarakat Arab setempat.

PPBA sentiasa membuka ruang kepada pihak industri luar memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka untuk pemerkasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar dan pensyarah. Semoga pada masa akan datang wujudnya kerjasama yang erat antara PPBA dan industri luar dari dalam mahu pun luar negara dalam memartabatkan bahasa Arab di UniSZA.

 

ll Galeri ll

Cetak

Ucaptama PM. Dr. Nazri

Ditulis oleh Pentadbir.

Prof. Madya Dr. Nazri Latiff Azmi telah dilantik menjadi salah seorang pemberi ucaptama pada "Annual International Conference on Language and Literature" (AICLL 2018) di Universiti Islam Sumatera Utara, Medan Indonesia. 

Tajuk yang dibentangkan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Nazri adalah "A New Dimension of Trauma Theory in Literature".

Cetak

LIQA' MAHABBAH BAS 1.0

Ditulis oleh Pentadbir.

LIQA     

 

Pada hari Sabtu bersamaan 9 Februari 2018, para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi telah berjaya menganjurkan satu program yang dikenali sebagai "Liqa' Mahabbah". Program yang julung kali diadakan adalah salah satu usaha daripada Unit Bahasa Arab (UBA) untuk mengeratkan lagi hubungan sesama keluarga besar pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab. Program ini melibatkan semua pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab termasuk pelajar semester dua, empat, enam dan pelajar semester akhir iaitu semester lapan. Program ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran para pensyarah FBK yang turut sama mengambil bahagian dalam aktiviti yang dianjurkan.

Program yang bermula seawal 7.30 pagi ini dimulakan dengan sesi pendaftaran pelajar seterusnya kata-kata aluan daripada Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, Ustaz Mohd Fauzi Abdul Hamid. Pagi itu juga dimulakan dengan alunan al-Asma' al-Husna daripada semua pelajar ISM Pengajian Bahasa Arab seterusnya aktiviti "Senam Santai" yang dikendalikan oleh beberapa orang pelajar.

Taklimat ringkas juga telah diberikan kepada semua pelajar yang terlibat bagi memastikan semua aktiviti yang dijalankan berjalan dengan lancar. Antara aktiviti dan pertandingan yang dijalankan sepanjang program ini ialah pertandingan bola tampar, bola jaring dan badminton. Acara sukaneka seperti bowling padang dan bola beracun juga diadakan. Semua pelajar dilihat bersungguh-sungguh mempamerkan semangat kesukanan ketika acara dipertandingkan. Setiap acara dipertandingkan sehingga waktu tengah hari dan penentuan bagi tempat pertama dan kedua telah dipertandingkan selepas solat Zuhur bertempat di Dewan Gemilang.

Program Liqa' Mahabbah ini disudahi dengan ucapan penutup daripada Dekan FBK, Prof Madya Dr. Zulazhan Ab. Halim selain pembahagian hadiah kepada para pemenang. Program berakhir dengan perasaan ikatan mahabbah yang semakin kuat antara semua pelajar yang terlibat. Sesi bergambar beramai-ramai mengakhiri program Liqa' Mahabbah sebagai tanda kenang-kenangan. Rata-rata pelajar sangat gembira dan teruja dengan program yang dianjurkan ini.