طباعة

MULTAQA AL-LUGHAWIYYIN 4.0

كتب بواسطة: Pentadbir.

MULT

Pada 25 Oktober 2017, bermula jam 8.00 malam telah berlangsungnya program Multaqa Al-Lughawiyyin 4.0 yang dianjurkan oleh mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA. Program ini diadakan di Dewan Kuliah Utama, UniSZA Kampus Gong Badak dan dihadiri oleh dua tetamu istimewa iaitu Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, YBrs. Dr. Zulazhan Ab. Halim dan Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, Encik Mohd Fauzi Bin Abdul Hamid. Majlis ini juga turut diserikan dengan kehadiran para pensyarah PPBA.

Program ini merupakan satu perjumpaan antara para pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab dengan para mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab. Program yang diadakan setiap tahun ini bertujuan menyemarakkan lagi semangat cintakan bahasa arab di samping mengeratkan lagi hubungan antara mahasiswa dan pensyarah. Antara aktiviti yang diadakan pada program kali ini ialah persembahan nasyid, kata-kata semangat dan nasihat daripada para pensyarah, gimik perasmian pelancaran TV Al-Qalam dan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan kuiz Buletin Al-Qalam dan Pertandingan Poster Sempena Hari Bahasa Arab Sedunia. Pelajar ISM Pengajian Bahasa Arab semester 3 turut menyediakan satu slot khas bagi memperingati arwah Anas, pelajar semester 3 yang telah dijemput Illahi pada tanggal 30 September 2017. Program ini telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, YBrs. Dr. Zulazhan Ab. Halim. Majlis berakhir pada jam 11.00 malam.

Program dapat dilaksanakan dengan jayanya oleh barisan ahli jawatankuasa pelaksana yang sangat komited dengan tugas masing-masing. Tidak dilupakan juga kerjasama dan sokongan daripada semua pensyarah dan staf fakulti dalam menjayakan program ini. Alhamdulillah, program ini mendapat respon yang positif daripada semua pihak. Semoga program yang baik ini dapat diteruskan oleh legasi Pelajar ISM Pengajian Bahasa Arab seterusnya, pada setiap tahun akan datang.

 

ll Galeri ll

طباعة

BENGKEL PEMANFAATAN TEKNOLOGI DALAM PEMBELAJARAN BAHASA ARAB

كتب بواسطة: Pentadbir.

PEMNAFFATT

Bengkel Pemanfaatan Teknologi telah dianjurkan dengan jayanya pada 30 September 2017. Program ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Bahasa Arab (PPBA), Fakulti Bahasa dan Komunikasi. Program yang bertempat di makmal komputer perpustakaan ini telah disertai oleh 60 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab semester tujuh.

Majlis bermula dengan ketibaan tetamu kehormat yang terdiri daripada Dr. Khamimi Zainuddin (panel jemputan), Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, Ustaz Mohd Fauzi Bin Abdul Hamid serta para pensyarah PPBA. Majlis diteruskan dengan ucapan aluan daripada Ustaz Mohd Shahrizal bin Nasir selaku pengarah program. Beliau mengalu-alukan kehadiran Dr. Khamimi Zainuddin dalam ucapannya. Dr. Khamimi memulakan slot dengan sesi soal jawab bersama para pelajar. Beliau menggunakan paparan slide untuk menarik minat pelajar. Antara soalan yang diajukan ialah "Kenapa anda perlu belajar bahasa Arab?" dan "Kenapa anda memilih kos Bahasa Arab di UniSZA?". Para peserta juga diajar menggunakan aplikasi permainan Kahoot. Kemudian, beliau mengajukan lapan soalan kuiz menerusi aplikasi yang telah dibina oleh beliau sendiri.

Majlis penutup bengkel ini telah disempurnakan oleh Ustaz Mohd Fauzi bin Abdul Hamid. Beliau menyokong sepenuhnya penganjuran Bengkel Pemanfaatan Teknologi dalam Pembelajaran Bahasa Arab ini dan beliau juga mencadangkan agar program ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.

Rata-rata peserta memberi respon yang positif terhadap penganjuran bengkel ini. Selain daripada dapat mempelajari bahasa Arab secara menarik dan santai, peserta juga dapat mendalami ilmu teknologi berkomputer. Banyak manfaat yang diperoleh dalam bengkel ini bagi meningkatkan tahap penguasaan bahasa Arab peserta. Sebelum majlis berakhir, Dr. Khamimi sempat memberi peluang kepada peserta untuk meninggalkan komen serta perkenalan diri di laman sesawang milik beliau.

 

ll Galeri ll

طباعة

MINGGU MESRA SISWA/WI FBK 2017

كتب بواسطة: Pentadbir.

MMS

Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA) telah mengadakan Minggu Mesra Siswa (MMS) peringkat fakulti pada 11 September 2017 lalu. Program yang melibatkan para pelajar bagi pengambilan sesi 2017 ini telah bertempat di Bilik Umar 01 dan 02. Pada semester kali ini, FBK telah menerima seramai 180 orang pelajar yang terdiri daripada 83 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab, manakala 97 orang bagi Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris dan Komunikasi.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis, kemudian disusuli dengan bacaan doa oleh wakil pelajar FBK. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan daripada Dekan FBK, YBrs. Dr. Zulazhan Bin Ab. Halim. Sejurus ucapan dan perasmian majlis tersebut, para pelajar diberi penerangan dan gambaran awal mengenai FBK serta program-program yang dijalankan sepanjang tahun di FBK. Selain itu, para pelajar juga didedahkan mengenai struktur pengajian mereka selama berada di UniSZA oleh Ketua Pusat Pengajian (KPP) masing-masing.

Perasmian Minggu Mesra Siswa peringkat FBK ini telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Zulazhan bin Ab.Halim. Turut menghadiri majlis perasmian tersebut adalah para pensyarah serta kakitangan sokongan FBK. Program ini dilihat mampu membantu para pelajar baru bagi mendapat gambaran awal mengenai fakulti mereka. Selain itu, para pelajar juga mampu untuk mengenali warga FBK termasuk kakitangan, staf mahupun pensyarah. Semoga program yang diadakan ini mampu melahirkan pelajar yang lebih maju ke hadapan dan berdaya saing.

 

ll Galeri ll