Print

MULTAQA AL-LUGHAWIYYIN 3

Written by Pentadbir.

12


Pada 3 Oktober 2016, bermula pukul 8.00 malam telah berlangsungnya program Multaqa Al-Lughawiyyin 3.0 yang dianjurkan oleh mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA. Program ini diadakan di Dewan Perdana, UniSZA Kampus Gong Badak dan dihadiri oleh dua tetamu istimewa iaitu Timbalan Dekan (Akademik dan Siswazah) FBK, Y.Brs. Dr. Zulazhan Ab. Halim dan Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, Encik Mohd Fauzi Bin Abdul Hamid.

Program ini merupakan satu perjumpaan antara para pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab dengan para mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab. Program yang diadakan setiap tahun ini bertujuan memupuk semangat kecintaan terhadap bahasa Arab di samping satu medium rasmi untuk para pelajar dapat beramah mesra dengan para pensyarah. Antara aktiviti yang diadakan pada program kali ini ialah persembahan nasyid, sesi soal jawab dan yang paling istimewa ialah gimik perasmian pelancaran Buletin Al-Qalam. Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Siswazah) FBK, Y.Brs. Dr. Zulazhan Ab. Halim. Majlis berakhir pada pukul 11.00 malam.

Program ini dapat berjalan lancar sepertimana yang dirancang atas usaha ahli jawatankuasa pelaksana dengan kerjasama semua pensyarah dan para staf fakulti. Alhamdulillah, program ini mendapat maklum balas yang baik daripada semua pihak dan diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada setiap tahun akan datang.

 

ll Galeri ll

Print

Minggu Mesra Siswa FBK 2016

Written by Pentadbir.

web

 

Pada 1 September 2016, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) telah mengadakan Minggu Mesra Siswa peringkat fakulti yang bertempat di Bilik Umar. Pada semester ini, FBK telah menerima seramai 127 orang pelajar yang terdiri daripada 69 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dan 58 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab.


Para pelajar telah berkumpul di hadapan Dewan Al-Muktafi Billah Shah (DABS) pada jam 8.00 pagi sebelum bertolak ke Bilik Umar 01 & 02. Majlis bermula pada jam 9.00 pagi dengan bacaan doa dan disusuli dengan ucapan perasmian oleh Dekan FBK iaitu YBrs. Prof. Dato' Dr. Haji Mohamed Anwar bin Omar Din (DPMT). YBrs. Dato' Dekan menasihatkan para pelajar agar menghormati para pensyarah, memperbanyakkan aktiviti dengan masyarakat luar dan belajar bersungguh-sungguh. Turut menghadiri pada majlis perasmian tersebut adalah para pensyarah. Sejurus selepas itu, para pelajar diberi penerangan tentang fakulti serta program-program yang dijalankan sepanjang tahun di FBK. Dalam sesi tersebut, struktur pengajian mereka selama berada di UniSZA turut dijelaskan oleh Ketua Pusat Pengajian masing-masing iaitu Encik Ahmad Taufik Hidayah bin Abdullah (Ketua Pusat Pengajian Bahasa Inggeris) dan Ustaz Mohd Fauzi bin Abdul Hamid (Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab).

 

ll Galeri ll

Print

BELAJAR BAHASA ARAB DENGAN EZ-Arabic

Written by Pentadbir.

ezarabic2

 

Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) telah menganjurkan program "Belajar Bahasa Arab Dengan EZ-Arabic" pada 27 Ogos 2016 dan 3 September 2016 bertempat di Makmal Bahasa, FBK. Program berbentuk Corporate Social Responsibility (CSR) ini melibatkan para pelajar darjah lima dari Sekolah Kebangsaan Tok Jembal pada 27 Ogos 2016dan Sekolah Kebangsaan Tanjung Gelam pada 3 September 2016.

Seramai 40 orang pelajar daripada setiap sekolah terlibat dalam program ini. Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memperkenalkan laman pembelajaran berasaskan teknologi iaitu EZ-Arabic. Pembangunan laman pembelajaran ini merupakan hasil daripada kajian geran penyelidikan RAGS daripada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia yang diketuai oleh En. Mohd Firdaus bin Yahaya, pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa Arab, FBK.

Dalam program ini, para pelajar didedahkan dengan kandungan laman pembelajaran EZ-Arabic serta tatacara penggunaan laman bagi membantu mereka menguasai bahasa Arab dengan mudah. Penjelasan tentang penggunaan laman EZ-Arabic dijalankan secara hands-on bagi memberi peluang kepada pelajar menggunakan sendiri laman tersebut. Hal ini secara tidak langsung dapat memupuk semangat pembelajaran kendiri dalam diri pelajar kerana mereka boleh memanfaatkan laman EZ-Arabic di rumah masing-masing.

Rata-rata pelajar yang mengikuti program ini melahirkan rasa seronok dalam mempelajari bahasa Arab dengan menggunakan laman pembelajaran EZ-Arabic. Para pelajar turut menyatakan bahawa mereka akan menggunakan laman EZ-Arabic di rumah bagi menambah pengetahuan tentang bahasa Arab.

 ll Galeri ll