طباعة

Bengkel Pengacaraan Majlis 2017

كتب بواسطة: Pentadbir.

BPM

 

Kelancaran sesuatu majlis terletak pada tulang belakang penganjur dan juga pengacara majlis. Pengacara majlis bukan sahaja perlu menyampaikan skrip pengacaraan dengan baik, malah perlu menjadi seorang yang kreatif dan cepat bertindak. Menyedari kepentingan peranan dan tanggungjawab seorang pengacara majlis, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin telah mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Pengacaraan Majlis.

Bengkel tersebut telah dikendalikan oleh pembaca berita serta penerbit rancangan TV 3 iaitu Saudara Mior Abdul Malek bin Raiyani. Bengkel tersebut telah berlangsung di Dewan Seminar, Pusat Seni dan Warisan, UniSZA, pada 1 Oktober 2017 dan telah disertai oleh lebih 30 orang peserta yang terdiri daripada warga UniSZA serta peserta dari luar. Selain bertujuan mencungkil bakat peserta, bengkel ini juga dianjurkan dengan tujuan untuk memperbaiki teknik pengacaraan majlis, serta mempelajari teknik penyampaian skrip dengan cara yang menarik dan bersahaja. Bengkel ini dilaksanakan secara interaktif dan mendapat maklum balas positif daripada para peserta yang hadir.

 

ll Galeri ll

طباعة

KEMBARA FATONI

كتب بواسطة: Pentadbir.

 

PATTANI

Seramai 19 orang pelajar ISM Bahasa Inggeris dan ISM Bahasa Arab telah mengikuti program antarabangsa 'Pattani Retweet: Youth Tourist Promotion' anjuran Prince of Songkla University (PSU), Thailand. Delegasi ini telah diketuai oleh saudara Muhammad Farhan bin Abd Ghafar, dan diiringi oleh Puan Mahani binti Mohamad.

Program yang berlangsung dari 19 - 25 Ogos 2017 ini bertujuan mendedahkan para pelajar dari kedua-dua universiti mengenai tempat-tempat perlancongan yang menarik sekitar wilayah selatan Thailand, terutama di Pattani. Ia juga merupakan satu langkah proaktif pihak pengajur bagi mengubah mentaliti masyarakat luar terhadap Pattani dan sekitarnya, di samping mendalami budaya negara Thailand serta sejarah kewujudan negara tersebut.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan, termasuklah aktiviti sukaneka pantai, lawatan ke muzium, serta satu sesi khas, iaitu pembentangan kreatif yang telah ditugaskan kepada setiap kumpulan bagi berkongsi pengalaman lawatan masing-masing. Semua peserta juga berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan sukarelawan 'Trash Hero Pattani' yang merupakan satu inisiatif terbaik bagi memelihara alam sekitar terutamanya melibatkan sekitar pantai-pantai di Pattani. Lebih menarik lagi, bahan buangan yang telah dikumpul akan diproses untuk menjadi produk yang mempunyai nilai komersial tinggi seperti selipar dan beg tangan.

Program ini secara keseluruhannya telah berjaya merapatkan hubungan antara pihak UniSZA dan PSU. Realitinya, banyak manfaat yang diperoleh oleh para pelajar yang mengikuti program ini khususnya melibatkan penglibatan mereka dalam komuniti antarabangsa. Semoga program ini yang merupakan wadah kerjasama yang baik antara dua buah universiti dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

 

 

ll Galeri ll

 

 

طباعة

MULTAQA AL-LUGHAWIYYIN 4.0

كتب بواسطة: Pentadbir.

MULT

Pada 25 Oktober 2017, bermula jam 8.00 malam telah berlangsungnya program Multaqa Al-Lughawiyyin 4.0 yang dianjurkan oleh mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA. Program ini diadakan di Dewan Kuliah Utama, UniSZA Kampus Gong Badak dan dihadiri oleh dua tetamu istimewa iaitu Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, YBrs. Dr. Zulazhan Ab. Halim dan Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab, Encik Mohd Fauzi Bin Abdul Hamid. Majlis ini juga turut diserikan dengan kehadiran para pensyarah PPBA.

Program ini merupakan satu perjumpaan antara para pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab dengan para mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab. Program yang diadakan setiap tahun ini bertujuan menyemarakkan lagi semangat cintakan bahasa arab di samping mengeratkan lagi hubungan antara mahasiswa dan pensyarah. Antara aktiviti yang diadakan pada program kali ini ialah persembahan nasyid, kata-kata semangat dan nasihat daripada para pensyarah, gimik perasmian pelancaran TV Al-Qalam dan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan kuiz Buletin Al-Qalam dan Pertandingan Poster Sempena Hari Bahasa Arab Sedunia. Pelajar ISM Pengajian Bahasa Arab semester 3 turut menyediakan satu slot khas bagi memperingati arwah Anas, pelajar semester 3 yang telah dijemput Illahi pada tanggal 30 September 2017. Program ini telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, YBrs. Dr. Zulazhan Ab. Halim. Majlis berakhir pada jam 11.00 malam.

Program dapat dilaksanakan dengan jayanya oleh barisan ahli jawatankuasa pelaksana yang sangat komited dengan tugas masing-masing. Tidak dilupakan juga kerjasama dan sokongan daripada semua pensyarah dan staf fakulti dalam menjayakan program ini. Alhamdulillah, program ini mendapat respon yang positif daripada semua pihak. Semoga program yang baik ini dapat diteruskan oleh legasi Pelajar ISM Pengajian Bahasa Arab seterusnya, pada setiap tahun akan datang.

 

ll Galeri ll