Cetak

Pertandingan Debat Bahasa Arab

Ditulis oleh Pentadbir.

DEBAT

 

Pada 1-3 Disember 2016, Unit Bahasa Arab Persatuan Mahasiwa Fakulti Bahasa dan Komunikasi telah mengadakan program Pertandingan Debat Piala Ketua Pusat Pengajian Bahasa Arab buat kali pertama yang berlangsung di Blok Akademik, UniSZA Kampus Gong Badak. Program ini melibatkan 19 orang peserta yang diwakili oleh Pelajar ISM Pengajian Bahasa Arab semester tiga dan lima. Pertandingan ini dijalankan dengan melalui tiga pusingan saringan, satu peringkat separuh akhir dan diakhiri dengan peringkat akhir.

Program ini bertujuan melahirkan mahasiswa/wi yang mampu mempraktikkan Bahasa Arab sebagai bahasa kedua dengan lancar dan teratur, mengasah kemahiran komunikasi mahasiswa/wi dalam aktiviti-aktiviti luar kuliah serta mengembangkan penggunaan Bahasa Arab dalam kalangan mahasiswa/wi ISM Pengajian Bahasa Arab. Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk mencari bakat baru dalam dunia debat di UniSZA sebagai pendebat yang akan meneruskan legasi debat yang sedia ada.

Cetak

Pingat “Diamond” Dalam International Invention and Innovative Competition (INIIC) 2016

Ditulis oleh Pentadbir.

radzuwan

 

Produk inovasi yang diberi nama "Virtual Speaking Buddy" (VirSbud)yang dihasilkan oleh Dr. Radzuwan Ab Rashid dari FBK serta kumpulan penyelidikannya telah memenangi anugerah tertinggi iaitu "Diamond Award" dalam International Invention and Innovative Competition (INIIC) 2016. Pada tahun ini, INIIC telah disertai oleh 104 penyertaan daripada Malaysia dan Indonesia dan diadakan di Puteri Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 5 November 2016. Kumpulan penyelidikan VirSbud yang berjaya meraih kemenangan ini telah membawa pulang sebuah trofi berserta hadiah wang tunai. Sekalung tahniah diucapkan kepada Dr. Radzuwan Ab Rashid serta kumpulan penyelidikannya atas kejayaan yang membanggakan ini.

Cetak

MUKHAYYAM LUGHAWI II ERAT KERJASAMA UNISZA DAN UNIVERSITI FATONI

Ditulis oleh Pentadbir.

LOGOMU

Mukhayyam Lughawi atau Perkhemahan Bahasa merupakan satu subjek wajib berkredit yang perlu diambil oleh para pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (Dengan Kepujian) dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA. Penawaran subjek ini merupakan antara identiti tersendiri yang membezakan program Ijazah Pengajian Bahasa Arab di UniSZA dengan Universiti Awam lain di Malaysia. Pelajar dikehendaki mengambil subjek Mukhayyam Lughawi sebanyak dua kali sepertimana termaktub dalam struktur penawaran program pengajian.

Bagi Mukhayyam Lughawi II yang pertama kali diadakan pada semester pengajian pertama sesi 2016/2017 ini, pelaksanaan subjek ini melibatkan penyertaan daripada pelajar dari Universiti Fatoni, Thailand seramai 20 orang serta empat orang kakitangan akademik. Subjek Mukhayyam Lughawi II ini melibatkan penganjuran aktiviti-aktiviti berorientasikan permainan bahasa Arab. Berbeza dengan subjek Mukhayyam Lughawi I, untuk subjek Mukhayyam Lughawi II ini fokus diberikan kepada penganjuran aktiviti kepada kelompok masyarakat khususnya golongan pelajar sekolah dan orang awam untuk mengenali, mempelajari, mencintai dan mendapat pendedahan tentang bahasa al-Quran.Sepertimana yang digariskan dalam hasil pembelajaran subjek, Mukhayyam Lughawi II merupakan wadah bagi pelajar untuk merancang dan menganjurkan aktiviti bahasa Arab berdasarkan pengalaman pembelajaran yang dimiliki. Selain itu, kursus ini juga menjadi medan untuk pelajar mengenal pasti kebolehan diri serta menerapkan nilai-nilai murni dalam amalan profesional dan interaksi sosial. Mukhayyam Lughawi II juga menyediakan ruang kepada pelajar untuk membina kesedaran tentang sikap kendiri yang positif, kreatif dan inovatif dalam melaksanakan sesuatu perancangan.